Anggota penyelamat pantai disengat obor-obor - Utusan Malaysia

Anggota penyelamat pantai disengat obor-obor

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menangkap obor-obor yang muncul di pantai Batu Hitam, Balok di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN APM KUANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekumpulan obor-obor beracun yang muncul di sepanjang pesisir pantai Batu Hitam, Balok di sini menyebabkan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengalami kecederaan akibat disengat haiwan berkenaan.

Ketiga-tiga anggota APM berkenaan, Muhamad Alim Al-Fattah Abdullah, 32; Wan Mohammad Harith Firdaus Wan Zaki, 34, dan Wan Ahmad Afiq Noor Ahmad Bustamam, 33, ketika itu sedang menjalani latihan harian sebagai anggota penyelamat pantai.

Kemunculan obor-obor itu disedari kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum anggota berkenaan ditugaskan mengawal keselamatan pengunjung di pantai yang sedang cuba menangkap haiwan laut itu.

Pegawai APM Daerah Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, anggota terbabit cedera akibat terkena sengatan obor-obor berkenaan.

“Bagaimanapun, kecederaan itu tidak terlalu serius dan mereka tidak perlu dikejarkan ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zaubidah berkata, orang ramai terutama kanak-kanak yang beriadah di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya tidak memegang atau mendekati obor-obor.

Katanya, tindakan tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ke atas mengunjung yang cuba melihat dengan lebih dekat.

“Kita sudah memaklumkan kepada anggota ditugaskan di menara kawalan Pantai Batu Hitam itu agar sentiasa peka dengan aduan dan melakukan pemantauan lebih kerap di sepanjang pantai terbabit.

“Buat masa ini kita belum lagi tahu (tahap) risiko jika disengat obor-obor berkenaan, jadi langkah (keselamatan) awal perlu diambil bagi melindungi pengunjung.

“Setakat ini pihak kami berjaya menangkap kira-kira 10 ekor obor-obor namun masih banyak lagi yang berada di sekitar kawasan pantai itu,” katanya.

Terdapat beberapa kategori atau spesies obor-obor yang biasa ditemukan di perairan negara termasuk spesies beracun.

Spesies obor-obor beracun dikenali sebagai ‘portuguese man o’ war’ atau nama saintifiknya ‘physalia cnidaria’ yang pernah dikesan di Pantai Kekabu, Marang, Terengganu pada Februari tahun lalu.

Obor-obor spesies itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa yang mengakibatkan rasa sakit melampau jika terkena pada bahagian badan dan belum ada antivenom ditemui bagi menghilangkan rasa sakit akibat sengatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya