PETALING JAYA: Aliran trafik tinggi dilaporkan hari ini di lebuh raya utama menghala Lembah Klang, setakat pukul 9 pagi tadi.
Ia dipercayai susulan warga kota mula kembali ke Lembah Klang selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut perkongsian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman twitter, aliran trafik tinggi direkodkan di laluan arah Selatan yang membabitkan laluan sejauh 4.7 kilometer (km) dari Tapah ke hentian rehat dan rawat (R&R) Tapah dan hentian sebelah Ladang Bikam ke Sungkai (1.7km).
Selain itu, aliran trafik tinggi dicatatkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Barat yang melibatkan laluan sejauh 12.7km, bermula dari sebelum masuk Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – UTUSAN










