Aidilfitri suram sejak anak terlantar akibat langgar lembu

Aidilfitri suram sejak anak terlantar akibat langgar lembu

ENGKU Faridah Engku Man menguruskan Wan Muhamad Haikal Daniel Wan Mohd. Hilmi yang terlantar selepas terlibat nahas dengan lembu, dua tahun lalu di Kampung Tapah, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bertukar suram buat seorang ibu sejak anaknya terlibat dalam nahas motosikal akibat terlanggar lembu, dua tahun lalu.

Engku Faridah Engku Man, 45, berkata, tragedi hitam itu mengubah seluruh kehidupan Wan Muhamad Haikal Daniel Wan Mohd. Hilmi, 20, kerana tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di katil.

Katanya, sebelum kejadian anak ketiga daripada lapan beradik itu adalah individu yang ringan tulang dan sentiasa bersemangat melakukan persiapan Syawal untuk keluarga.

“Wan Muhamad Haikal Daniel tidak pernah menolak untuk membantu saya, malah dia yang paling sibuk menjelang hari raya, namun kini semuanya tinggal kenangan.

“Jika dulu dia bergaya dengan baju raya, kini terpaksa memakai lampin pakai buang. Bahkan tidak mampu lagi makan aneka juadah Aidilfitri kerana bergantung sepenuhnya kepada susu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tapah di sini, baru-baru ini.

Menurut Engku Faridah, kemalangan ketika dalam perjalanan untuk bermain futsal itu mengakibatkan anaknya koma lebih sebulan dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Katanya, keadaan Wan Muhamad Haikal Daniel bertambah baik kini, namun harapan untuk sembuh sepenuhnya mungkin memakan masa panjang.

“Anak saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala lampin pakai buang dan susu pula disumbangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN