MELAKA: Kes kemalangan jalan raya di Melaka naik mendadak dengan sebanyak 676 kes direkodkan dalam tempoh 10 hari sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, statistik itu direkodkan sejak pelaksanaan Op Selamat 18 bermula 29 April sehingga 8 Mei lalu.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 73 kes berbanding Op Selamat 15 pada 2019.
“Mengikut pecahan, sebanyak 390 kemalangan berlaku di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (203 kes) dan Jasin (83 kes).
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus atau pertambahan 73 kes berbanding Op Selamat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kemalangan membabitkan kecederaan parah juga meningkat sebanyak 29 kes, manakala cedera ringan pula 36 kes.
Jelasnya, bagaimanapun kemalangan maut hanya merekodkan empat kes, menurun satu kes berbanding Op Selamat 15.
Dalam pada itu, Amran memberitahu, sepanjang operasi itu juga sebanyak 7,956 saman dikeluarkan di bawah Pol 170A dan 1,998 saman bagi Pol 257.
“Paling ketara kesalahan dilakukan pengguna jalan raya menghalang lalu lintas, pandu laju dan mengabaikan isyarat lalu lintas di bawah Pol 170A iaitu 5,958 saman, berbanding 4,571 saman pada Op Selamat 15.
“Bagi Pol 257 pula, jumlah saman meningkat sebanyak 547 kes atau 38 peratus,” katanya. – UTUSAN