seleweng dana

Ahli lapor SPRM calon pemilihan PKR seleweng dana NGO

MAHANIM Abdul Hamid menunjukkan kenyataan media sebelum membuat laporan kepada SPRM berhubung penyelewengan dana NGO bagi kegunaan peribadi dalam pemilihan PKR di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang ahli PKR Tambun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berhubung dakwaan seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Tambun menyalah gunakan dana kutipan orang awam.

Ahli PKR itu, Mahanim Abdul Hamid yang membuat laporan  di Pejabat SPRM Perak di sini hari ini mahu satu siasatan dibuat oleh SPRM terhadap individu berkenaan.

Menurutnya, individu itu secara terang menyalahgunakan dana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi kegunaan peribadi menjelang pemilihan parti berkenaan.

Katanya, kutipan dana NGO tersebut merupakan derma daripada orang awam bagi tujuan membantu madrasah, pelarian dan orang Islam yang memerlukan namun ia disalahgunakan.

“Saya difahamkan individu itu menggunakan dana tersebut untuk kepentingan diri sebagai calon Ketua Cabang Tambun menjelang pemilihan parti.

“Perkara ini dimaklumkan oleh individu itu sendiri kepada saya dalam pertemuan tiga minggu lalu yang mana beliau memberi wang untuk perbelanjaan pemilihan bagi tujuan memenangkan beliau sebagai Ketua Cabang Tambun,” katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM Perak di sini hari ini.

Mahanim berkata, individu berkenaan bukan hanya menyeleweng dana sebuah NGO yang diuruskannya malah turut melakukan perkara sama kepada beberapa NGO lain yang dia turut terlibat.

Ditanya jumlah wang yang disalahgunakan individu berkenaan, Mahanim berkata, ia melibatkan jumlah yang besar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit namun beliau mengakui tidak boleh memaklumkan jumlah yang tepat.

“Saya berharap SPRM menyiasat perkara ini kerana kita tidak mahu ada salah guna dana yang dikutip daripada orang awam untuk membantu orang awam tetapi digunakan atas kepentingan peribadi bertanding sebagai ketua cabang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN