daging halal

Afrika Selatan boleh eksport daging ke Malaysia

Afrika Selatan sedia membekalkan daging halal bagi memenuhi permintaan umat Islam di negara ini. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperakui Afrika Selatan sebagai sebahagian pengeksport daging halal ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor berkata, sebagai negara yang mengamalkan polisi terbuka dalam soal pengimportan daging, Malaysia komited memastikan pengeksport mematuhi syarat sebelum mengeksport daging halal ke negara ini.

“Untuk makluman, kita mengamalkan polisi terbuka membenarkan pengimportan daging dari mana-mana negara sumber import yang diperakui.

“Perakuan import perlu mematuhi syarat  dari aspek SPS (Sanitary and Phytosanitary measures), di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta syarat halal di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, Afrika Selatan telah melepasi proses analisis risiko SPS, dan diperakui sebagai pengeskport daging lembu sejuk beku ke Malaysia.

“Sebuah badan Islam di Afrika Selatan telah juga mendapat perakuan Jakim iaitu South African National Halal Authority (SANHA).

“Setakat ini, sebuah rumah sembelih Karan Beef (Pty) Ltd. di Belfour Afrika Selatan telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging sejuk beku tanpa tulang. Rumah sembelih lembu Karan Beef telah mendapat kelulusan export pada 6 Jan 2020,” katanya.

Pada 21 Mei, Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Dave Malcomson berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Malaysia bagi tujuan mengeksport daging halal selepas kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan permit import (AP) komoditi agro makanan tertentu.

Beliau berkata, walaupun pemansuhan itu tidak melibatkan bekalan daging atau sumber ruminan, pihaknya bersedia terlibat dalam bidang itu lebih luas tanpa kompromi protokol halal memandangkan negara berkenaan diiktiraf antara tujuh pengeluar produk halal teratas di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Norlizan berkata, berhubung soal perbezaan kos mengimport daging dari Afrika Selatan berbanding negara lain, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa JPV, sebaliknya deklarasi nilai import di bawah kawal selia Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN