kurang tepung gandum

87 cawangan Econsave kekurangan 30 peratus tepung gandum

HANYA tepung gandum jenama Faiza tanpa subsidi yang masih boleh didapati di Pasaraya Econsave semasa tinjauan di Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pasar Raya Econsave Cash and Carry (Econsave) berdepan masalah kekurangan bekalan tepung gandum bersubsidi sehingga 30 peratus di kesemua 87 cawangannya di seluruh negara.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, keadaan itu disebabkan pembekal mengalami masalah ketiadaan bekalan tepung gandum sejak awal bulan ini.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila pembekal tidak dapat menghantar bekalan disebabkan cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Walaupun negara kita tidak mengimport tepung dari India, masalah turut berlaku setelah bekalan tepung gandum tidak mencukupi di pasaran.

“Kita mengimport bekalan tepung gandum kira-kira 80 peratus dari Australia dan hanya sedikit dari Ukraine, sepatutnya kita tidak timbul isu kekurangan bekalan tepung gandum,” katanya semasa meninjau bekalan berkenaan di Econsave Taman Scientex, di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, bekalan tepung gandum negara dijangka tidak terjejas di sebalik larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik.

KPDNHEP berkata, Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, setakat ini hanya terdapat bekalan untuk tepung gandum tidak bersubsidi jenama Faiza di pasar raya tersebut dengan harga RM3.05 satu paket.

Jelasnya, tepung gandum bersubsidi berjenama lain seperti GPS (RM1.85), jenis Blue Key, Lili dan Feri (RM1.35) semakin sukar diperoleh dan kebanyakannya sudah terputus bekalan sejak awal bulan ini.

“Walaupun tiada bekalan tepung bersubsidi, pihaknya tidak menaikkan harga tepung gandum tidak bersubsidi sedia ada dan pada masa sama menasihatkan pengguna tidak melakukan pembelian panik,” katanya.

Tambahnya, langkah mengehadkan penjualan tepung gandum juga akan dikenakan kepada pembeli ekoran kekurangan bekalan di semua cawangan pasar raya berkenaan.

Jelasnya, langkah itu dilihat perlu bagi memastikan keperluan asas berkenaan dapat memenuhi permintaan lebih ramai pembeli namun perlu mendapat kebenaran kementerian terlebih dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.