40,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong - Utusan Malaysia

40,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong

ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) memotong lemang pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kira-kira 40,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang kaum memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Kerayong hari ini.

Ismail Sabri berkata, sambutan hari raya disambut meriah kali ini selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti biasa setiap tahun dihadiri masyarakat pelbagai kaum di daerah ini dan alhamdulillah ramai juga orang luar daerah turut hadir.

“Terima kasih kepada semua yang hadir yang mana makanan dan juadah disediakan oleh penduduk setiap kampung di daerah ini,” katanya di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Dalam pada itu seorang pengunjung, Ng Hook Chuan, 77, berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakannya hadir ke rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri pada pukul 9 pagi.

Katanya, sambutan Aidilfitri berkonsepkan keluarga Malaysia ini amat bermakna sekali yang menunjukkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Di sini kami dapat bersama menikmati pelbagai makanan seperti lemang dan ketupat bersama masyarakat Melayu yang merayakan Aidilfitri selain bertemu dengan Perdana Menteri.

“Kami amat teruja sekali dan berharap sambutan hari raya seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Triang.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Zuhaili Zainuddin, 30, berkata, dia begitu teruja untuk menghadiri rumah terbuka ini selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.

Katanya, dia bersama semua ahli keluarganya dan rakan-rakan hadir bagi menjamu selera dan bertemu saudara di majlis itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN