KUALA TERENGGANU: Sebanyak 245 aduan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya disalurkan menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ dalam tempoh seminggu sejak 29 April lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, pencapaian itu disifatkan tertinggi hasil kerjasama orang awam yang menjadi ‘mata-mata’ atau pengintip dalam melaporkan kes pelanggaran undang-undang sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri diadakan.
Katanya, sehingga kini lebih separuh daripada aduan itu sudah dikenakan tindakan termasuk mengeluarkan notis.
“E-Aduan@JPJ dilancarkan pada 1 April lalu dan didapati respons pengguna jalan raya amat memberangsangkan kerana selalunya kita jarang menerima aduan menerusi kaedah sedemikian.
“Antara aduan tertinggi yang dilaporkan adalah kesalahan memotong barisan dan memandu di laluan kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Op Hari Raya Aidilfitri JPJ Peringkat Terengganu di sini, malam tadi.
Baru-baru ini, JPJ mengajak pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sepanjang musim perayaan untuk menjadi pengintip kepada agensi berkenaan.
Katanya, mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat atau mengesan kesalahan jalan raya oleh pengguna lain diminta mengadu dan merakamkan kesalahan itu sama ada melalui gambar atau video ke e-Aduan@JPJ.
Menurut Aedy Fadly, setiap aduan yang diterima melalui aplikasi itu akan diteliti dan diambil tindakan dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam.
Bagaimanapun, katanya, kelewatan boleh berlaku jika aduan kurang lengkap sekali gus memaksa pihak JPJ berhubung kembali dengan pengadu untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sementara itu, katanya, setakat pagi semalam sebanyak 89,490 kenderaan diperiksa di seluruh negara dengan sejumlah 18,690 notis dikeluarkan kepada pengguna jalan raya. – UTUSAN