KOTA TINGGI: Kasihnya ibu membawa ke syurga. Bait-bait lagu nyanyian biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini menggambarkan ketabahan seorang ibu menjaga anaknya sejak 24 tahun lalu yang menderita penyakit lebihan cecair dalam kepala.
Norsilawati Mohd. Yudin, 50, berkata, anak lelakinya, Muhammad Norhanif Helmi Amran, 24, disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia lima bulan walaupun dilahirkan normal dan tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang dalam kandungan.
“Ketika usia lima bulan, Muhammad Norhanif demam kemudian diserang angin pasang dan tidak lama kemudian lehernya tidak boleh tegak. Ketika itu saya juga dapat melihat perubahan kepada kepalanya terutama bahagian dahi.
“Muhammad Norhanif ketika itu tidak berhenti menangis. Kebetulan kami baru berpindah rumah pada awalnya bimbang kerana ada gangguan di rumah tersebut namun rupa-rupanya petanda dia menghidap penyakit itu.
“Doktor ada sarankan kami melakukan pembedahan namun ketika itu kami tidak dapat membuat keputusan lalu tidak mengikut apa disarankan doktor kerana bimbang dengan keadaan dia yang masih bayi,” katanya ketika ditemui di Taman Bayu Damai, Pengerang.
Norsilawati yang menyertai Kelab Permata Syurga Johor Darul Takzim (KPSJDT) berkata, sehingga kini anaknya menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mendapat pemantauan daripada doktor ekoran ukur lilit kepalanya yang semakin membesar.
Katanya, doktor juga sudah tidak boleh membuat sebarang pembedahan ke atas Muhammad Norhanif ekoran tempurung kepalanya yang sudah keras dan boleh mengundang risiko lain.
“Muhammad Norhanif dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan, dia kini bergantung pada susu khasnya yang diberi melalui saluran yang ditebuk dibahagian badannya.
“Dalam sebulan kira-kira 14 tin susu berharga RM72 setiap satu digunakan untuk anaknya kerana itu sahaja yang boleh mengisi perutnya. Selain itu, dia juga bergantung kepada lampin pakai buang dan suplemen dengan kos keseluruhan sekitar RM1,800 sebulan,” katanya.
Bagi menampung perbelanjaan itu, Norsilawati membantu suaminya menjual ketupat palas dari rumah untuk menambah pendapatan suami yang bekerja di syarikat swasta, apatah lagi masih ada anak-anak lain yang bersekolah.
Katanya, dia yang mula menyertai KPSJDT sejak 2018 amat gembira dapat menyertai kelab itu yang mana dapat berkongsi rasa dan bertukar pengetahuan dengan mereka yang memiliki anak syurga sepertinya.
“Bila duduk di rumah rasa seperti kita seorang sahaja yang diuji sedangkan ada sahaja insan lain yang sama. Memang sangat gembira bersama kelab ini setiap kali dianjurkan program atau aktiviti pasti saya akan bawa Muhammad Norhanif dan anak lain tidak kira jauh sekalipun,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga berkenaan boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Nasional Berhad (BSN) milik Muhammad Norhanif, 01153-41-000078545 atau hubungi talian 017-7676458. – UTUSAN










