KEPALA BATAS: Kira-kira 20,000 orang hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kepala Batas, di sini malam tadi.
Selain Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor, majlis turut diserikan dengan kehadiran pelbagai tetamu tanpa mengira agama, usia, kaum serta latar belakang politik.
Antara yang kelihatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng serta beberapa pemimpin Pas, PKR dan DAP.
Turut menarik perhatian tetamu ialah kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut meluangkan masa mengunjungi majlis rumah terbuka itu.
Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan pastinya kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan anak sulung mereka iaitu Siti Aafiyah.
Pada majlis sama, penyanyi tersohor negara itu turut mendendangkan dua buah lagu raya popularnya iaitu Sesuci Lebaran dan Nazam Lebaran.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika ditemui pemberita berkata, sambutan Aidilfitri kali ini boleh sebagai paling meriah dalam tempoh tiga tahun khususnya selepas negara terpaksa melalui era pandemik Covid-19.
“Saya anggap majlis rumah terbuka ini sebagai salah satu detik penting yang perlu kita sebagai rakyat Malaysia raikan.
“Ini termasuk detik kebersamaan serta detik kesyukuran kerana kita telah berjaya keluar daripada era pandemik dan memasuki endemik. Inilah istimewanya Aidilfitri dan ini juga adalah rahmat kepada warga Kepala Batas khususnya,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – UTUSAN










