MERSING: Seramai 20 nelayan Vietnam dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki menceroboh dan menangkap hasil laut di perairan negara, semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua buah bot nelayan asing tersebut kira-kira pukul 12.30 pagi di perairan Mersing.
Katanya, kedua-dua bot itu ditahan dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Bersepadu di kedudukan kira-kira 7.9 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, di sini.
“Hasil pemeriksaan ke atas 20 kru termasuk tekong kedua-dua bot, mengesyaki mereka adalah warga Vietnam berumur antara 16 tahun hingga 52 tahun selepas didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
“Susulan itu kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Nizam berkata, dua bot dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan dianggarkan 9,000 kilogram (kg) dan bekalan diesel kira-kira 11,500 liter turut dirampas, manakala kesemua tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3 juta. Maritim Malaysia secara tegas mengambil serius dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.
“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya. – UTUSAN










