1MDB: Apandi gagal saman fitnah ke atas Kit Siang  - Utusan Malaysia

1MDB: Apandi gagal saman fitnah ke atas Kit Siang 

MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR:  Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini gagal dalam kes saman fitnah RM10 juta yang difailkan terhadap bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung penerbitan artikel yang mendakwanya bersubahat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar memutuskan demikian selepas mendapati artikel ditulis oleh Kit Siang kira-kira tiga tahun lalu tidak memfitnah beka Peguam Negara itu.

Sehubungan itu, mahkamah menolak saman dikemukakan Mohamed Apandi selaku plaintif yang menamakan Kit Siang sebagai defendan tunggal dalam kes itu dengan kos sebanyak RM80,000.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Azimah berkata, defendan mempunyai justifikasi ketika membangkitkan isu 1MDB dalam artikel tersebut terutama selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Berhad berjumlah RM42 juta.

“Defendan mempunyai justifikasi dalam kenyataan itu menggesa plaintif (Mohamed Apandi) untuk menjawab kenapa beliau membersihkan nama Najib dalam skand 1MDB pada 2016.

“Kit Siang juga menyuarakan pandangannya kepada orang awam mengikut etika kewartawanan ketika membuat kenyataan itu,” katanya.

 

Saman fitnah

Pada Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Kit Siang berhubung penerbitan artikel yang mendakwanya bersubahat dalam skandal 1MDB. 

Menurut afidavitnya, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu  menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di dalam portal berita tempatan. 

Mohamed Apandi yang dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 mendakwa perkataan-perkataan berbaur fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau telah bersubahat dan terlibat di dalam kegiatan jenayah terutama di dalam skandal kewangan 1MDB, tidak mempunyai integriti dan tidak bermoral, tidak beretika serta menyalahguna kuasa sebagai peguam negara pada masa itu.

Plaintif juga mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu tidak benar dan sengaja ditulis Kit Siang untuk menjatuhkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia demi mendapatkan publisiti murahan.

Ekoran penerbitan artikel itu, Mohamed Apandi mendakwa beliau berasa malu terhadap keluarga, kenalan dan warga profesional dalam kalangan ahli jurusan undang-undang.

Dakwanya, penerbitan artikel itu kini diketahui oleh orang ramai kerana ia telah disiar semula dan dikongsi melalui sistem pesanan Whatsapp, Facebook dan Twitter serta lain-lain forum media sosial. 

Mohamed Apandi mendakwa pada 13 Jun 2019, satu notis tuntutan telah dihantar kepada Kit Siang supaya menarik balik semua pernyataan yang ditulis dan memohon maaf namun defendan gagal mematuhinya.

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, Mohamed Apandi turut memohon ganti rugi teruk dan teladan, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang, pekerja, ejen atau mana-mana defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah dalam artikel berkenaan.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang sesuai daripada mahkamah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya