SHAH ALAM: ‘Berpantang maut sebelum ajal’, 18 sekeluarga terselamat selepas sebuah banglo diduduki mereka di Seksyen 7 di sini terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, sembilan dewasa dan kanak-kanak itu dikatakan sedang tidur sebelum api memusnahkan bahagian bumbung, pendawaian serta dua bilik tidur.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan penyelamat tiba.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki dan tujuh perempuan merupakan anak, menantu dan cucu kepada pemilik rumah yang pulang berhari raya.
“Bomba menerima panggilan pada pukul 2.06 pagi sebelum sepasukan 27 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Kota Anggerik dikerahkan ke tempat kejadian.
“Api berjaya dipadamkan kira-kira 20 minit selepas pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian pada pukul 2.14 dengan bantuan pegawai polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, walau bagaimanapun, ketika kejadian pemilik rumah dilaporkan tidak berada di tempat kejadian. – UTUSAN










