18 nyawa hampir melayang, bas dipandu penagih ganja - Utusan Malaysia

18 nyawa hampir melayang, bas dipandu penagih ganja

MUHAMMAD Firdaus Shariff (kanan) memeriksa dokumen perjalanan bas ekspres di Terminal Melaka Sentral, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nyawa 18 penumpang sebuah bas ekspres ke Kedah nyaris melayang apabila pemandunya dikesan positif dadah dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Terminal Melaka Sentral di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 38 tahun itu positif dadah jenis ganja ketika pemeriksaan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, kira-kira pukul 9.30 malam.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, individu itu merupakan pemandu gantian yang diupah oleh syarikat bas terbabit, selepas pemandu sepatutnya tidak dapat hadir pada saat akhir.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki itu juga masih dalam tempoh pengawasan AADK.

“Dalam operasi bersepadu ini, AADK telah menahan seorang pemandu bas berusia 38 tahun apabila dikesan positif dadah jenis ganja dalam serbuan dilakukan di Melaka Sentral. Pemandu itu dijadualkan membawa kira-kira 18 penumpang bas dari Melaka ke Kedah pada pukul 10 malam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi.

Muhammad Firdaus berkata, sepanjang Op HRA bermula 29 April lalu sehingga semalam, JPJ negeri telah memeriksa 944 kenderaan dan sebanyak 174 tindakan telah dilakukan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kesalahan utama yang kerap dilakukan adalah tidak mematuhi lampu isyarat merah iaitu sebanyak 22 kes, lebih muatan (14) dan tidak memakai topi atau tali pinggang keledar (13). Selebihnya menggunakan telefon bimbit semasa memandu iaitu sebanyak enam kes, memotong barisan (lima) dan memandu di lorong kecemasan empat kes,“ jelasnya.

Jelasnya, pemeriksaan juga dilakukan ke atas 326 bas dan 122 pemandu di terminal berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN