100 pesawah kemuka tiga tuntutan isu padi - Utusan Malaysia

100 pesawah kemuka tiga tuntutan isu padi

SEBAHAGAIAN pesawah hadir dalam perhimpunan bagi mengemukakan tuntutan menerusi bantahan secara aman di Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seramai 100 pesawah di Sekinchan dan Sungai Burong di sini mengadakan perhimpunan aman bagi mengemukakan tiga tuntutan berkaitan isu padi kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Tuntutan itu dibuat menerusi bantahan aman yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim di Site B Sekinchan pukul 11.30 pagi tadi untuk menggesa MAFI menaikkan harga padi, mengembalikan pemutuan padi sebanyak 17 peratus dan menaikkan subsidi padi.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, semua pesawah itu tidak berpuas hati kerana terkesan dengan harga padi yang menurun daripada RM1,300 ke RM1,280 bagi satu tan metrik.

“Mereka tampil berkumpul kerana tertekan dengan penurunan harga padi yang menjejaskan pendapatan mereka musim ini. Pendapatan mereka secara purata hanya RM1,000 sebulan dan tidak mencukupi untuk menyara keluarga yang berdepan kos sara hidup tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan itu.

Kata Suee Lim, pesawah turut dihimpit tekanan apabila berdepan pemutuan padi yang tinggi sehingga melebihi 28 peratus.

“Kerajaan perlu mengurangkan semula pemotongan pemutuan padi kepada 17 peratus dan bukannya 20, 25 atau 30 peratus ketika ini. Selain itu, subsidi padi pesawah daripada RM360 satu tan metrik kepada RM500 harus dipertimbangkan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya sudah menghantar surat kepada MAFI berhubung tuntutan itu yang diharap dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Bagi pesawah di Sungai Burong, Sabli Sobron, 60, peningkatan kos input pertanian membebankan pesawah apatah lagi dalam keadaan harga padi menurun dan pemotongan pemutuan tinggi.

“Terdapat pengurangan hasil pengeluaran pada tahun ini kerana faktor peningkatan kos pertanian. Harga baja dan racun turut semakin naik sekali gus meresahkan pesawah yang bergantung kepada sumber pendapatan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman berkata, luahan pesawah berkenaan dianggap wajar dan pihaknya akan memanjangkan kepada pihak pengurusan atasan.

“Kita akan memanggil kilang padi tempatan bagi membantu menyelesaikan isu harga padi dan pemotongan pemutuannya. Perbincangan dengan pengilang mengenai harga padi dan pemotongan pemutuan mungkin akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN