10 hari, empat individu jatuh dari Jambatan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

10 hari, empat individu jatuh dari Jambatan Pulau Pinang

Pasukan penyelamat masih mencari seorang lelaki warga emas yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lagi kejadian individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pagi tadi iaitu kejadian keempat dalam tempoh 10 hari sepanjang bulan ini serta yang kelapan sejak Januari lalu.

Kejadian terbaru hari ini  melibatkan warga emas lelaki iaitu Lau Choon Chye, 66, berasal dari Paya Terubong, Air Hitam dekat sini.

Pemeriksaan tidak jauh dari lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta  Perodua Kancil berwarna perak di jambatan dipandu mangsa.

Mangsa dilaporkan terjatuh ke laut di Kilometer 4.0 arah Perai menghala ke pulau.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menerima panggilan  Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri pada pukul 7.07 pagi tadi.

Menurut beliau, maklumat kejadian disalurkan  terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT). 

Susulan itu,  kata beliau, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian. 

“Operasi CARILAMAT diaktifkan pukul 8 pagi dan turut  membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abd. Razak, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.

“Sehubungan itu, kita meminta orang awam melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN