Zuraida sokong RUU anti lompat parti

Zuraida sokong RUU anti lompat parti

ZURAIDAH KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Anggota Kabinet dipercayai memberi sokongan kepada Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti sekali gus diluluskan untuk dibentang dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin hadapan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin, berkata persetujuan itu turut dinyatakannya walaupun terdapat desas-desus beliau akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum rang undang-undang itu dibentangkan.

“Tidak, dalam mesyuarat kabinet semua setuju dan akan dibentang pada Isnin, 11 April,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perdana Program Mari Kenali Sawit di Hotel Wyndham Acmar Klang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab khabar angin bahawa kabinet meminta semakan RUU itu, lima hari sebelum persidangan khas Dewan Rakyat mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaannya akan menyertai PBM dalam masa terdekat dan menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin.

“Jangan percaya khabar angin. Sekarang yang saya tengah gerakkan adalah program sawit,” selorohnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meminta semua parti politik menyatakan pendirian sama ada ahli Parlimen mereka akan menyokong RUU anti lompat parti di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Kata Loke, RUU yang ditunggu-tunggu itu mesti disokong sekurang-kurangnya 148 ahli Parlimen untuk diluluskan kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga kerana melibatkan pindaan perlembagaan.

Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan kepada Ismail semalam bahawa semua ahli Parlimennya akan menyokong RUU itu, manakala Ismail berjanji tidak akan ada perubahan pada sidang khas itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN