PUTRAJAYA: Seramai 340 siswa dan siswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada kategori B40 diraikan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kelmarin.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah institusi pengajian tinggi awam itu turut berbesar hati menyampaikan sumbangan khas bulan Ramadan kepada para pelajar terbabit.
“Saya tidak mahu isu yang melibatkan masalah kewangan menjadi alasan untuk mereka tidak berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran,” katanya menerusi hantaran di akaun sosialnya.
Malahan, ujar Ahli Dewan Negara itu, beberapa polisi di peringkat USIM sedang ditambah baik bagi membolehkan penyaluran bantuan sampai kepada sasaran pelajar dengan lebih efektif.
Sumbangan ihsan peribadi beliau sendiri yang keseluruhannya bernilai RM26,000 itu turut meliputi pelbagai barangan keperluan dan sejumlah wang tunai untuk perbelanjaan harian mereka.
Zulkifli pada masa sama, turut berbesar hati menyumbang sebahagian besar koleksi jubah dirinya dan pakaian isteri beliau yang masih lagi dalam keadaan baik kepada pelajar tersebut.
“Mereka boleh pilih sendiri dan ambil dengan percuma. Malah semuanya itu telah pun saya hantar ke premis dobi untuk dicuci dan kemudian digosok dengan baik,” tambah beliau lagi.
Tokoh agama itu terkenal dengan imej penampilan berjubah dalam setiap program ketika pernah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia atas sumbangan pek bantuan makanan kepada siswa dan siswi USIM yang kurang berkemampuan. Dengan sejumlah 500 pek iftar disediakan. –UTUSAN










