Zakat fitrah: Semua negeri seragam kadar terendah RM7

Zakat fitrah: Semua negeri seragam kadar terendah RM7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat julung kalinya dalam sejarah, kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan menetapkan kadar paling rendah zakat fitrah yang seragam iaitu RM7 seorang.

Ia susulan Perlis muncul menjadi negeri terakhir yang mengesahkan kadar zakat tersebut untuk negeri berkenaan sepanjang Ramadan kali ini kekal seperti tahun-tahun sebelumnya.

Penetapan kadar itu dititahkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi kenyataan rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, malam tadi.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan kembali memansuhkan kadar minimum RM5 yang dilaksanakan pada 2020 dan 2021 apabila turut menetapkan had lantai zakat itu kepada RM7.

Pengumuman agak mengejutkan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad pada program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan di Putrajaya semalam.

Malahan, umat Islam di tiga wilayah tersebut yang berkemampuan, juga digalakkan membayar zakat fitrah kadar maksimum RM21 selain RM14 berdasarkan jenis gred beras dimakan.

Lima negeri lain turut menetapkan tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut gred beras dengan masing-masing meliputi Kedah, Kelantan, Melaka, Perak dan Selangor.

Sementara Negeri Sembilan juga ada tiga kadar namun had sederhana ditetapkan RM10 manakala Pulau Pinang pula mewartakan nisab sederhana ialah RM13 dan maksimum RM20.

Tahun lalu, umat Islam di Pulau Mutiara pun dikenakan tiga kadar iaitu RM7, RM12 dan RM21 namun pada 2020, Majlis Agama Islam Pulau Pinang menetapkan cuma RM7 dan RM16.

Johor pula kekal dengan dua kadar berbeza iaitu RM7 dan RM10, iaitu nisab zakat fitrah yang sama pernah dikenakan sejak 2019 lalu berbanding tahun sebelumnya hanya RM7 seorang.

Baki lima negeri lagi iaitu Pahang, Perlis, Terengganu, Sabah dan jirannya, Sarawak masih tidak berubah dengan cuma satu kadar tetap yang diwartakan masing-masing sebanyak RM7.

Pengiraan nisab zakat berkenaan diukur pihak berkuasa agama negeri dengan berdasarkan sukatan berat satu gantang Baghdad atau bersamaan harga semasa 2.7 kilogram beras.

Kelazimannya, ada negeri yang menilai kadar tersebut menerusi perbandingan beras super tempatan gred A bagi nisab RM7, manakala jenis mahal iaitu beras basmathi, merah, jepun.

Kadar zakat fitrah yang sederhana pula kebiasaannya melibatkan pemakanan harian beras jenis super import selain beras perang, beras pulut, beras wangi atau beras herba ponni.

 

Kadar zakat fitrah 1443H

Johor – RM7, RM10

Kedah – RM7, RM14, RM21

Kelantan – RM7, RM14, RM21

Melaka – RM7, RM14, RM21

Negeri Sembilan – RM7, RM10, RM21

Pahang – RM7,

Perak – RM7, RM14, RM21

Perlis – RM7,

Pulau Pinang – RM7, RM13, RM20

Selangor – RM7, RM14, RM21

Terengganu – RM7

Sabah – RM7

Sarawak – RM7

Wilayah Persekutuan – RM7, RM14, RM21

(Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan)

 

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN