Waris Azizan Baba dapat faedah penakat Perkeso

Waris Azizan Baba dapat faedah penakat Perkeso

SULAIMAN Md. Ali bersama balu serta anak Allahyarham Mohd. Azizan Baba selepas menyampaikan faedah penakat dan pengurusan jenazah di Kampung Bakar Batu, Bachang, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan terus membantu Yusriati Mohd. Yunos, balu Allahyarham bekas pemain bola sepak Melaka United (MU), Allahyarham Mohd. Azizan Baba yang meninggal dunia pada 22 Mac lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau amat prihatin dengan keluarga Allahyarham terutama lapan orang anaknya berusia antara dua hingga 15 tahun.

Menurutnya, bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diuruskan bagi meringankan beban balu Allahyarham untuk menyara kesemua anak mereka.

“Apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham akan kita bantu dan jika ada keperluan melalui agensi kerajaan negeri untuk menjadikan anak-anak arwah sebagai anak angkat.

“Saya juga akan mencadangkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk membantu keluarga Allahyarham kerana jasa dan bakti yang dicurahkan sewaktu menjadi pemain dan jurulatih kelab ini.

“Hari ini Pejabat Ketua Menteri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan faedah penakat berjumlah RM867.30 sebulan sepanjang hayat dan faedah pengurusan jenazah secara one-off sebanyak RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Perkeso kepada Yusriati di Kampung Bakar Batu, Bachang di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar.

Mohd. Azizan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pada 22 Mac lalu.

Menurut Yusriati, suaminya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 8.05 pagi kerana masalah jantung.

Dalam pada itu, tambah Sulaiman, pemergian Mohd. Azizan adalah satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka kerana Allahyarham pergi buat selama-lamanya ketika usia 40 tahun.

Menurutnya, sejak arwah mula ditimpa sakit, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) telah menghulurkan bantuan buat membiayai kos rawatannya.

“Saya sewaktu arwah meninggal tidak dapat menziarah kerana ketika itu sedang menjalani kuarantin kendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Yusriati berkata, dia mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dan Perkeso yang menguruskan pelbagai faedah bagi meringankan bebannya.

“Sebenarnya saya tak tau nak cakap apa, melainkan memanjatkan rasa syukur atas kesudian ramai pihak membantu saya serta anak-anak setakat ini,” katanya sebak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya