PASIR PUTEH: Penduduk di sekitar Kampung Bukit Merbau, di sini ketakutan melihat seorang wanita mengamuk dan mundar-mandir tanpa tujuan sambil membawa sebilah sabit panjang, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang, suspek yang merupakan ibu tunggal berusia 52 tahun dikatakan meracau dan memaki hamun selain mengheret sabit tersebut tanpa diketahui punca sebenar.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Azizul Rizal Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan penduduk mengenai kejadian itu, namun, suspek sudah melarikan diri.
https://streamable.com/lj2yvu
RAKAMAN kejadian wanita mengamuk di Bukit Merbau, Selising, semalam. – MEDIA SOSIAL
Zaizul Rizal berkata, wanita berkenaan kemudian berjaya dikesan di sebuah rumah di kampung sama sebelum dipujuk dan ditahan anggota polis yang turut merampas sabit yang dibawanya.
“Siasatan lanjut mendapati wanita itu telah kematian suami sejak dua tahun lalu dan tinggal bersendirian di rumah tersebut.
“Dia dipercayai mengalami masalah mental membuat alasan membawa sabit kerana mahu memetik pucuk kayu untuk dijadikan ulam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Zaizul Rizal, suspek kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk pemeriksaan pakar dan rawatan lanjut.
Terdahulu tular di media sosial klip video pendek berdurasi 16 saat memaparkan kelakuan wanita terbabit yang mundar-mandir sambil mengheret sebilah sabit panjang di luar pagar rumah penduduk. – UTUSAN










