[VIDEO] Mengamuk jual racun tikus tak laku - Utusan Malaysia

[VIDEO] Mengamuk jual racun tikus tak laku

TANGKAP layar CCTV menunjukkan suspek merosakkan rak makanan di kedai runcit di Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang remaja lelaki mengamuk dengan merosakkan barangan jualan di sebuah kedai runcit di Kampung Lati di sini semalam selepas premis itu enggan membeli racun tikus bernilai RM200 daripadanya.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, suspek berusia 17 tahun bertindak menendang rak makanan dan air mineral di premis berkenaan selepas berang racun tikusnya tidak laku dijual.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, suspek datang ke kedai runcit itu untuk menawarkan racun tikus pada harga RM200 kepada premis itu.

Menurutnya, disebabkan harganya terlalu tinggi, pekerja kedai runcit itu menghubungi majikannya bagi memaklumkan harga tersebut sebelum membuat keputusan menolak tawaran suspek.

“Berang usaha menjual racun tikus itu gagal, suspek bertindak merosakkan barangan jualan di premis berkenaan sebelum menaiki kereta jenis Proton Satria dan beredar dari situ.

RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek merosakkan rak makanan di kedai runcit di Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan. – MEDIA SOSIAL

“Siasatan turut mendapati, dia pernah datang ke kedai runcit sama untuk membuat kacau dan memeras ugut pekerja dengan memaksa mereka membeli racun tikus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam oleh anggota Balai Polis Bukit Panau, Tanah Merah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif sebarang penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, polis turut menahan rakan suspek yang berusia 15 tahun untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Terdahulu, tular di media sosial video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 16 saat yang memaparkan tindakan remaja itu mengamuk di sebuah kedai runcit.

Berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menendang stok air mineral dan rak makanan ringan di premis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN