[VIDEO] Khemah Bazar Ramadan Triang rosak, makanan bertaburan dipukul ribut - Utusan Malaysia

[VIDEO] Khemah Bazar Ramadan Triang rosak, makanan bertaburan dipukul ribut

KEADAAN tapak Bazar Ramadan Triang selepas hujan lebat berserta angin kencang dan ribut menyebabkan kira-kira 12 peniaga mengalami kerugian. - UTUSAN/AZIZAH SHAFIEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Itu situasi getir dihadapi kira-kira 12 peniaga di tapak Bazar Ramadan Triang di sini apabila gerai dan makanan musnah ekoran hujan lebat serta ribut dalam kejadian pada petang semalam.

Peniaga roti john, Fazli Yaakob, 34 berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang dia berniaga di Bazar Ramadan.

Menurutnya, walaupun tiada kecederaan kepada peniaga namun hampir 80 peratus peniaga terpaksa menanggung kerugian.

“Angin kuat datang dari arah kawasan terbuka berdekatan. Ada peniaga yang pegang tiang khemah untuk elak khemah terbang. Masa ribut mula-mula berlaku, peniaga masih mampu pegang tiang tetapi apabila ribut melanda kali kedua, mereka terpaksa lepaskan tiang. Kalau mereka berpaut juga, saya rasa mereka pun ikut terbang dengan khemah,” katanya.

KEADAAN tapak Bazar Ramadan Triang selepas hujan lebat berserta angin kencang dan ribut. – MEDIA SOSIAL

Fazli berkata, jumlah kerugian belum dapat dipastikan namun sebahagian besar peniaga terjejas mengalami kerugian kerana semua makanan dan minuman termasuk peralatan musnah.

Peniaga kuih, Suria Abd. Rahman, 48, berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku pantas dan barang niaga serta jualan tidak sempat diselamatkan.

Katanya, semasa kejadian, semua peniaga di barisan khemah tempat dia berniaga terpaksa melarikan diri ke bangunan kedai berdekatan untuk menyelamatkan diri.

“Pada mulanya hanya hujan lebat, tapi tiba-tiba angin kuat. Masa itu, khemah sudah berbunyi-bunyi, tiang pun sudah mula terangkat. Ada peniaga yang pegang tiang khemah tapi memang tak boleh bertahan, angin ribut datang terus terbangkan khemah ke bahagian hadapan,” katanya.

Seorang peniaga, Idywati Idris, 40 memberitahu, dia tidak dapat menyelamatkan tabung duit hasil jualan kerana semasa kejadian dia sedang memegang anaknya.

Katanya, anaknya yang lain dan pekerjanya cuba menyelamatkan khemah dari diterbangkan angin ribut itu.

“Tapi masing-masing tak boleh lagi bertahan. Jadi mereka lepaskan tiang tapi tangan mereka pula terseliuh. Harap kecederaan mereka tidak serius. Pada kejadian itu juga, tabung duit jualan terbang. Saya cuba cari bila keadaan dah reda tapi tak dapat jumpa kesemuanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN