KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun ini mengagihkan zakat berjumlah RM471,600 kepada golongan yang layak sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, seramai 1,827 individu menerima agihan zakat tersebut.
Menurutnya, penerima terbesar zakat tersebut adalah pelajar UUM berjumlah 1,539 orang dan diikuti pembiayaan yuran persekolahan anak kakitangan UUM seramai 209 orang.
“Selebihnya, pemberian zakat itu melibatkan 33 komuniti setempat, 22 anak kakitangan berstatus OKU, 10 pasangan kakitangan yang sakit mudarat, enam kakitangan yang sakit serta lapan anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Perdana UUM yang berlangsung di pekarangan Masjid Sultan Badlishah UUM, Sintok di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Haim Hilman menambah, lebih separuh daripada dana zakat UUM itu datangnya daripada sumbangan LZNK.
“Kami amat berterima kasih kepada LZNK yang merupakan penyumbang terbesar dana zakat UUM iaitu sebanyak RM340,445.
“Kepercayaan dan amanah besar diberikan para penyumbang, UUM akan merangka pendekatan pengurusan agihan zakat strategik dan berkesan bagi memastikan pengagihan berjalan dengan baik dari semasa ke semasa,” katanya.- UTUSAN