ISKANDAR PUTERI: Individu yang menjalankan perniagaan secara bermusim diminta mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Sistem Pusat Data Usahawan Johor (Padu) yang disediakan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan mereka turut menerima segala manfaat disediakan kerajaan.
Katanya, nasihat itu dibuat ekoran situasi semasa yang menyaksikan jumlah usahawan baharu yang wujud selepas semua pihak mahu menjalankan perniagaan masing-masing.
“PUJB akan membuat satu struktur baharu yang mana setiap program melibatkan usahawan perlu merujuk kepada badan itu untuk jalinan kerjasama, langkah ini supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan.
“Saya sendiri ada menerima makluman usahawan di beberapa tempat mega tidak mendapat sambutan kerana pihak pengurusan dikatakan kurang membuat promosi. Perkara itu tidak sepatutnya terjadi kerana kedua-dua pihak adalah usahawan iaitu vendor dan juga pengurusan.
“Jadi kita akan lihat semula selepas ini, apakah program bersesuaian untuk PUJB bantu sama ada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang sepatutnya berniaga di satu-satu program. Saya tidak mahu usahawan tersilap masuk program,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelepasan Program Kasih Ihya Ramadan PUJB di Pusat Komersial Iskandar Puteri, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Eksekutif PUJB, Mohd. Radzi Mohd. Amin.
Tambah Mohd. Hairi, langkah usahawan mendaftarkan diri menerusi Padu adalah bagi mengetahui bantuan yang diperlukan kerana terdapat usahawan antaranya bermusim seperti sempena bulan Ramadan sahaja.
Sementara itu, Mohd. Radzi menjelaskan, Padu berperanan sebagai pusat pengumpulan data dan maklumat usahawan di Johor di mana setakat ini terdapat seramai 10,000 usahawan telah berdaftar.
“Sistem Padu berlainan dengan sistem lain kerana ia membolehkan 49 agensi berlainan di bawah PUJB menyalurkan bantuan sewajarnya kepada usahawan berkaitan.
“Jadi ia merupakan pusat sehenti yang mana apabila usahawan berdaftar kita tahu ke mana dan bantuan apa yang diperlukan mereka. Pendaftaran juga boleh dibuat secara dalam talian atau hadir terus ke pejabat PUJB,” katanya.-UTUSAN










