UMNO tidak terburu-buru namakan Ismail Sabri calon PM

UMNO tidak terburu-buru namakan Ismail Sabri calon PM

AHMAD Maslan (tengah) membaca doa ketika melawat seorang ketua kampung yang terlibat kemalangan di Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi di Pontian, hari ini. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan cadangan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan tindakan terburu-buru.

Menurut beliau, ia adalah keputusan sebulat suara semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan  Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad  Zahidi Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohammad Hassan.

Malah katanya, Ahmad Zahid juga pada mesyuarat MKT Ogos tahun lalu turut menyuarakan perkara sama bagi memberikan laluan kepada Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri.

Katanya, semua pemimpin termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak menerima secara terbuka pencalonan itu bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan Ismail Sabri ketika ini.

“Pencalonan Ismail Sabri bukan sesuatu yang terlalu awal, sebaliknya merupakan ketentuan politik bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa dan ini memberikan lebih banyak masa untuk menyusun strategi menghadapi pembangkang.

“Keputusan ini juga kali kedua bagi Presiden menarik diri sebagai calon Perdana Menteri yang menunjukkan keterbukaan beliau sebagai pemimpin berjiwa besar,” katanya selepas melawat Ketua Kampung yang terlibat kemalangan di Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Semalam, MKT bersetuju untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15 selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu di ibu negara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, keputusan tersebut merupakan yang terbaik bagi menghentikan pelbagai desas-desus politik bukan sahaja dalam kalangan UMNO dan BN tetapi juga pembangkang.

“Ia juga diharap dapat stabilkan suasana politik serta meneruskan agenda bantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 di mana beliau (Ismail Sabri) dekat dengan isu itu sejak menjadi Menteri Kanan Pertahanan lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad juga menegaskan tiada lagi memorandum persefahaman (MoU) 2.0 antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir pada 31 Julai ini walaupun ada cadangan untuk disambung.

Katanya, UMNO akan menentang sekiranya terdapat cadangan bagi menyambung perkara itu kerana MoU tersebut diadakan hanya bagi menangani Covid-19 di negara ini yang ketika ini telah memasuki fasa endemik.

“Tiada lagi MoU tersebut kerana suasana Covid-19 telah memasuki fasa endemik dengan kegiatan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya telah berjalan seperti biasa,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya