UDA Holdings sumbang RM200,000 ceriakan 800 anak yatim, asnaf

UDA Holdings sumbang RM200,000 ceriakan 800 anak yatim, asnaf

NORLIZA Abdul Rahim dan Noor Azmi Salleh menyantuni anak yatim dan asnaf mencuba pakaian baharu pada Majlis Syukuri Ramadan @ Penang oleh UDA Holdings di Mydin Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. – FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kira-kira RM200,000 telah diperuntukkan untuk disumbang kepada 800 anak yatim dan golongan asnaf di beberapa negeri oleh syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, selain Pulau Pinang, sumbangan itu turut dibuat di empat negeri lain iaitu Pahang, Johor, Selangor dan Perak.

Untuk Pulau Pinang katanya, sebanyak RM65,000 disalurkan dalam bentuk zakat kepada kepada 40 anak yatim dan asnaf di sekitar Kepala Batas dan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut beliau, sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif syarikat itu dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat khususnya dalam kawasan wilayah perniagaan UDA.

“Dengan sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Pada masa sama, kami mahu mereka turut sama merasai kemeriahan sambutan hari raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Syukuri Ramadan @ Penang oleh UDA Holdings yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanah UDA Holdings Berhad, Noor Azmi Salleh.

Pada majlis itu, seramai 40 anak yatim dan asnaf diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Rumah Kelab Crescent Dew, Bertam di sini.

Turut hadir pada majlis berbuka puasa yang diadakan bersama majlis penyerahan sumbangan hari raya itu ialah Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings, Mohd. Salem Kailany.

Terdahulu, kumpulan anak yatim dan asnaf dari sekitar Kepala Batas itu turut diberi peluang membuat persiapan raya seperti membeli pakaian serta peralatan untuk menyambut Lebaran di Mydin Kepala Batas.

Difahamkan, setiap mereka menerima sebanyak RM250 untuk tujuan itu hasil agihan daripada sumbangan zakat yang diberikan UDA Holdings sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN