Tular tarikh raya awal dinafikan

Tular tarikh raya awal dinafikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakar falak terkenal tanah air, Hanafiah Abdul Razak menyangkal mesej tular menerusi aplikasi Whatsapp kononnya Hari Raya Aidilfitri kali ini bakal disambut sehari awal.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, beliau yang juga ahli panel rujuk falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) malah menegaskan, hantaran itu sebagai tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak pasti dari sumber mana maklumat itu dan setakat ini hanya Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja yang secara rasmi memaklumkan mengenai tarikh tersebut,” katanya.

Beliau merujuk mesej berkenaan yang memetik konon bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di negeri berkenaan yang dikongsi ramai warganet.

Hantaran itu mendakwa umat Islam perlu bersedia kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei depan dan tidak sebagaimana 3 Mei yang tertera di kalendar ketika ini.

Mesej tersebut malahan menyatakan konon perubahan itu disebabkan perkiraan syarat kenampakan hilal mengikut kaedah imkanur rukyah tahun ini menggunakan format baharu.

Pada 20 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Hanafiah yang juga Imam Masjid Kota Iskandar, Johor Bahru mengunjurkan jangkaan Hari Raya Puasa tahun ini pada 3 Mei depan.

Ia berdasarkan kajian dan pemerhatian beliau yang mendapati kenampakan hilal Syawal pada petang rukyah 29 Ramadan atau 1 Mei ini agak sukar dilihat dan jasad cahayanya.

Jika hitungan itu diterima, masyarakat Islam di Malaysia akan berpuasa genap 30 hari buat tahun keempat berturut-turut setelah kali terakhir Ramadan cuma 29 hari ialah pada 2018.

“Malaysia sudah pun guna imkanur rukyah baharu pada 9 Ogos tahun lepas, bahkan ketetapan ini disepakati menteri agama dari Indonesia, Brunei dan Singapura,” kata Hanafiah.

Dalam pada itu, laman sosial rasmi Balai Cerap Al-Khawarizmi mengesahkan mesej tular tersebut sebagai palsu dan menegaskan hasil rukyah hanya dilapor petang hari berkenaan.

Justeru ujar pentadbir akaun itu, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah rasmi yang sah pada 29 Ramadan diterima dan selesai dilakukan.

Setakat ini, Malaysia mempunyai 27 lokasi rukyah di seluruh negara dengan lapan lokasi merupakan balai cerap khusus untuk tujuan lihat anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya