SEMPORNA: Kanak-kanak berusia dua tahun antara lima mangsa ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Timbun Mata semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, lima mangsa yang berusia dua hingga 40 tahun itu antara 21 orang penumpang menaiki bot tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, dua daripada mereka masih hilang manakala, 14 penumpang berjaya diselamatkan oleh orang kampung.

Semasa kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung ke Kampung Tandon di Pulau Timbun Mata.
“Dua mangsa yang hilang adalah kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia tujuh hingga 14 tahun.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Farhan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang belum ditemukan sedang giat dijalankan oleh agensi penyelamat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Taman-Taman Sabah. Operasi SAR turut dibantu oleh penduduk kampung.
Menurut beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis akan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan pengusaha bot penumpang dan penduduk setempat agar sentiasa menjaga keselamatan dengan mematuhi kapasiti penumpang yang dibenarkan serta sentiasa memakai jaket keselamatan.
Jelas beliau, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi pegawai penyisat Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Inspektor Khadijah ditalian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN