PUTRAJAYA: Tindakan segera Kementerian Kesihatan melaksanakan arahan kesihatan awam pada awal penularan Covid-19 menyaksikan jumlah lebihan kematian lebih rendah berbanding negara lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan yang dilaksanakan antara Mac 2020 hingga Julai 2021 membuktikan ia tindakan yang baik sekali gus mengurangkan risiko yang lebih besar.
Katanya, ini menjadikan Malaysia merekodkan lebihan kematian lebih rendah berbanding negara lain sepanjang pandemik Covid-19.
“Hasilnya, ia menunjukkan bahawa tindak balas negara terhadap pandemik Covid-19 adalah baik namun peningkatan lebihan kematian hanya berlaku ketika lonjakan kes positif Covid-19 dalam gelombang varian Delta iaitu antara Julai dan Ogos 2021.
“Apa yang kita lihat adalah kepatuhan kepada prosedur operasi standard yang penting, bukannya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala yang kedua, semasa lonjakan kes Covid-19 varian Delta pada Julai dan Ogos 2021,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sesi libat urus mengenai Lebihan Kematian Semasa Pandemik Covid-19 di Malaysia yang diadakan secara maya.
Antara ahli panel yang terlibat iaitu, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) kementerian berkenaan, Datuk Dr. P Kalaiarasu dan Ketua Unit Pusat Penyelidikan Tinjauan Institut Kesihatan Umum, Institut Kesihatan Negara, Dr. G Shubash Shander.
Noor Hisham berkata, pelaksanaan vaksinasi menyeluruh turut memberi kesan yang baik hingga dapat mengurangkan kes yang serius dan kematian.
“Liputan vaksinasi yang dipertingkatkan di Lembah Klang dilihat berjaya dan dapat mengawal jangkitan varian Delta.
“Usaha itu menurunkan kes positif dengan cepat, lebih baik daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya. –UTUSAN










