Tiga penerbangan terus dari Singapura ke Langkawi seminggu - Utusan Malaysia

Tiga penerbangan terus dari Singapura ke Langkawi seminggu

MOHD. Firdaus Ahmad (dua dari kiri) bersama Nasaruddin Abdul Muttalib (dua dari kanan) dan Manoharan Periasamy (kanan) menyerahkan cenderamata kepada pelancong dari Singapura yang tiba di LTAL, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pulau peranginan ini hari ini menerima ketibaan satu penerbangan terus yang membawa pelancong asing dari Singapura sempena pembukaan sempadan negara yang bermula hari ini.

Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot, TR476 dari negara jiran itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada pukul 5.20 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, penerbangan tersebut akan masuk ke Langkawi dengan kekerapan sebanyak tiga kali seminggu.

“Sebelum ini kita sasarkan hanya pelancong domestik akan memasuki Langkawi dengan jumlah 2.2 juta pengunjung.

“Tapi apabila sempadan antarabangsa telah dibuka, kita boleh menganggarkan sasaran tersebut akan meningkat kepada 2.4 juta hingga 2.5 juta (pengunjung memasuki Langkawi),” katanya selepas majlis sambutan majlis sambutan bersempena pembukaan sempadan negara di LTAL, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.

Sementara itu dalam majlis sama, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia (TM), Manoharan Periasamy berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk berbincang dengan syarikat penerbangan luar negara bagi mengadakan penerbangan terus ke Langkawi.

“Kami juga sedang berhubung dengan syarikat-syarikat penerbangan asing supaya dapat mengadakan penerbangan terus ke Langkawi khususnya daripada India, China dan pasaran-pasaran Asia Barat. Kami juga mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat pelancongan di luar negara supaya dapat memasukkan Langkawi sebagai salah satu daripada destinasi pilihan dalam pakej pelancongan yang ditawarkan oleh mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga melibatkan diri dalam beberapa misi jualan di beberapa negara seperti India dan negara-negara Asia Barat bagi menggalakkan lebih ramai pelancong-pelancong daripada negara berkenaan melawat ke Langkawi.

Langkawi sebelum ini mencatatkan sebanyak 7,600 orang pelancong asing masuk ke Langkawi melalui pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) sejak 15 November tahun lalu dan berakhir semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN