terlantar di katil

Tidak mampu berdiri, berjalan akibat perut membesar

AHMAD Shahrul Nizam Nayan hanya mampu duduk di atas katil ekoran perutnya yang semakin membesar akibat dipenuhi air di rumahnya di Kampung Telok Gong di Klang, Selangor. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara kini bergantung kepada pencen ilat untuk meneruskan kehidupan dan bergantung bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Situasi itu dihadapinya sejak tujuh tahun lalu ekoran menghadapi masalah kesihatan apabila perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur pinggangnya melebihi dua meter.

Disebabkan masalah tersebut, Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, terpaksa berhenti kerja dan kini terlantar di atas katil kerana tidak mampu berdiri seperti biasa apabila beratnya sekarang mencecah 216 kilogram (kg).

Dia yang tinggal di Kampung Nelayan Teluk Gong di sini berkata, penyakitnya itu tidak pulih walaupun sudah tujuh tahun mendapatkan rawatan di hospital.

“Selepas disahkan tidak sihat oleh Lembaga Perubatan tujuh tahun lalu saya tidak bekerja lagi dan dalam masa yang sama perut terus membesar hingga berat badan saya meningkat daripada 90kg tujuh tahun lalu.

“Apabila diserang sesak nafas sememangnya menjadi masalah untuk saya naik ambulans hingga menyebabkan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) datang menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ahmad Shahrul Nizam yang dijaga isterinya, Rahayu Abdul Malik, 52, berkata, dia mendapat pencen ilat sebanyak RM1,400 dan bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400.

Katanya lagi, pendapatan sebanyak itu tidak dapat menampung kos perubatan, sewa beli rumah, makanan seharian dan bil utiliti.

“Bantuan yang saya perlukan adalah untuk menampung kos perubatan, peralatan rawatan melecet kulit dan lain-lain ubat yang melebihi RM900.

“Buat masa ini saya terpaksa berjimat cermat bagi meneruskan kehidupan. Baru-baru ini kami menjadi mangsa banjir yang menyebabkan kerugian perabot dan kerosakan kenderaan beribu ringgit,” katanya.

Ujarnya lagi, anak-anaknya, Mohd. Hazrin Shah, 31, Siti Nur Syafinaz, 30, dan Mohd. Aminuddin Shah, 29, hanya bekerja sebagai kakitangan swasta dengan pendapatan sederhana dan mempunyai komitmen masing-masing.

Beliau menambah, doktor pernah mencadangkan  pembedahan bariatrik atau memotong tetapi risikonya tinggi kerana dia kini menghidap kencing manis.

Kepada orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 012-2087765 atau membuat sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 10104-41-00010574-7 atas nama Ahmad Shahrul Nizam Nayan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN