PUTRAJAYA: Tiada pengusiran penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur ketika Ramadan ini, demikian jaminan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, rundingan bersama penduduk diteruskan dalam usaha mencari titik penyelesaian berhubung kemelut itu.
“Tidak, siapa kata kena pindah bulan Ramadan, tidak. Ini adalah tafsiran yang dikeluarkan pelbagai pihak, jadi kena ingat dalam Islam ini benda yang tak benar disebarkan hukumnya haram, tak baik.
“Termasuk pemberita yang menyebarkan berita tanpa melihat surat. Itu surat makluman bukan notis. Tidak akan berlaku perpindahan dalam bulan puasa, tidak mungkin berlaku. Mana mungkin kita keluarkan notis suruh mereka pindah sebelum raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Apresiasi @ Sukarelawan Misi Bantuan Banjir Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi Tahun 2021/2022 di sini, semalam.
Sebanyak 1,496 sularelawan diraikan atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam misi menyelamat serta bantuan kepada mangsa-manga banjir pada Disember lalu.
Semalam, media melaporkan penduduk Pangsapuri Sungai Baru terkejut selepas mendapat notis pengosongan kediaman.
Difahamkan, penduduk diarah mengosongkan rumah selepas Borang K dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dikeluarkan pada 22 Mac lalu selain mendakwa mereka tidak ditawarkan alternatif selepas menerima arahan pengusiran itu.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, tiada sebarang notis arahan perpindahan dikeluarkan, sebaliknya pengeluaran surat berhubung pengambilan tanah oleh PTG.
Menurutnya, rundingan antara pemaju dan penduduk berlangsung esok bagi membolehkan kerjasama dibentuk demi menyelesaikan isu tersebut.
“Yang keluarkan surat PTG, semua pengambilan tanah libatkan PTG. Mereka keluarkan surat bukan notis. Mereka penduduk Wilayah, kita teruskan rundingan dengan pemaju dan penduduk. Esok ada pertemuan antara pemaju dan penduduk,” katanya. – UTUSAN