LONDON: Sebuah syarikat kewangan yang membangunkan teknologi mengendalikan bank di seluruh dunia, dilaporkan menawarkan gaji permulaan tahunan paling tinggi berbanding mana-mana firma di United Kingdom (UK).
Syarikat Thought Machine yang berpangkalan di London, menduduki tangga teratas dengan menawarkan purata gaji sebanyak 60,000 pound (RM327,638) kepada pekerja baharu.
Lapor Daily Mail, kajian baharu dijalankan oleh laman sesawang perekrutan, Glassdoor mendedahkan gaji permulaan paling tinggi di UK.
Firma induk bagi Facebook, Meta menduduki tempat kedua dengan menawarkan sebanyak 57,000 pound (RM311,256) kepada pekerja pada permulaan kerjaya mereka.
Syarikat perkhidmatan kewangan, Macquarie Group berada di tempat ketiga dengan menawarkan 55,000 (RM300,314) pada pekerjanya.
Beberapa syarikat kewangan termasuk pemproses pembayaran, bank atau bank pelaburan dilaporkan mendominasi senarai tersebut.
Semua gaji disenaraikan itu membabitkan pekerjaan peringkat permulaan yang hanya memerlukan pengalaman kurang daripada dua tahun dalam bidang berkaitan dan tidak sama sekali melibatkan jawatan kanan.
Apabila terdapat pampasan yang sama, maka kedudukan tersebut ditentukan oleh jumlah laporan gaji.
Justeru, syarikat pada senarai kedudukan tinggi yang menawarkan gaji permulaan 50,000 pound (RM273,009) menggunakan banyak laporan gaji bagi mendapatkan median.
Gaji median itu dikumpulkan daripada 100,000 laporan gaji UK tanpa nama antara April 2021 hingga Mac 2022.
Sementara itu, Thought Machine memaklumkan misi syarikatnya adalah untuk membangunkan teknologi yang mampu mengendalikan bank-bank di dunia mengikut reka bentuk dan amalan perisian moden yang terbaik.
Menurut syarikat itu, pihaknya merekrut lebih 500 orang di seluruh Eropah, Asia, Amerika Utara, Australasia dan Asia Barat.