PONTIAN: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad akan menggunakan pengalaman yang ada untuk terus menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di negeri Johor.
Katanya, beliau akan menumpukan beberapa perkara penting seperti yang terkandung dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor bagi membantu kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, peranan berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan Bangsa Johor terus menikmati kehidupan lebih baik termasuk dalam peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan sebagainya.
“Saya masih seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan akan terus menabur bakti kepada negeri Johor dan Malaysia walaupun dalam keadaan yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar UMNO Bahagian Pontian, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Fauzi Sunawan.
Hasni berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan masa depan beliau dalam politik selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, beliau akan menggunakan segala ruang dan peluang agar sama-sama dapat memajukan negeri Johor selepas berakhirnya PRN Johor, baru-baru ini.
“Seperti yang saya kata sebelum ini, Johor adalah rumah kita dan saya akan memastikan rakyat di negeri ini terus bergerak dengan inspirasi kerajaan pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai insentif Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) yang diumumkan kerajaan negeri Khamis lalu, beliau menyifatkannya satu insentif yang baik bagi meringankan beban rakyat Johor.
Katanya, insentif tersebut merupakan kesinambungan Belanjawan Johor 2022 yang menunjukkan kerajaan negeri prihatin dengan masalah rakyat yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Jelas beliau, keadaan ekonomi sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya walaupun negara telah memasuki fasa endemik kerana masih banyak pihak yang memerlukan sokongan agar mereka dapat bangkit semula.
“Dengan sumber-sumber yang ada, kerajaan negeri mampu untuk membantu golongan sasar yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Kelmarin, Onn Hafiz mengumumkan insentif khas BKBJ melibatkan peruntukan berjumlah RM144.36 juta yang akan memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat negeri itu. – UTUSAN










