Terkilan gagal selamatkan bapa

Terkilan gagal selamatkan bapa

KEADAAN rumah Muhammad Aqil Afif Mohd. Asri yang terlibat kebakaran dan mengorbankan bapanya di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang. - MINGGUAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keadaan api marak menyebabkan seorang remaja gagal menyelamatkan bapanya yang maut dalam kebakaran memusnahkan rumah mereka di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, di sini.

Muhammad Aqil Afif Mohd. Asri, 13, berkata, asap tebal yang memenuhi setiap ruang rumah dan berbahang menyebabkannya sukar membantu bapanya, Mohd. Asri Idris, 39.

“Namun dalam keadaan yang panik dan tergesa-gesa, saya sempat membantu ayah menyelamatkan adik yang sedang tidur, Muhammad Aqid Aisy, 8, untuk keluar menyelamatkan diri.

“Kejadian begitu pantas, walaupun terkilan namun reda dengan apa yang berlaku dan menimpa keluarga saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kejadian kebakaran itu berlaku sekitar pukul 11 malam kelmarin melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat yang dipercayai berpunca daripada dapur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian terdapat enam ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan.

“Dalam operasi menyelamat, anggota bomba menemukan mangsa yang sudah tidak sedarkan diri dalam bilik air bahagian dapur.

“Keadaan mangsa ketika itu melecur di seluruh badan dan pihak paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu juga, anak ketiga mangsa turut mengalami kecederaan melecur di kedua-dua tangan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Antara lima ahli keluarga yang terselamat ialah isteri mangsa, Nor Atikah Adnan, 39, serta empat anak iaitu Muhammad Aqil Afif, 13; Muhammad Aqif Zahin, 10; Muhammad Aqid Aisy, 8; dan Muhammad Aniq Rizqi, 4.

Punca kebakaran rumah itu masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN