SUNGAI PETANI: Kementerian Pertahanan sedia membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjejaki baki tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, dekat sini, Rabu lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, anggota tentera bersiap siaga untuk melaksanakan tugas tersebut sekiranya tenaga mereka diperlukan memburu tahanan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima permintaan daripada KDN untuk membantu tugasan tersebut.
“Kita belum ada permintaan (bantuan) daripada agensi lain. Kita bersedia kalau kita boleh bantu, sebut sajalah untuk kebaikan bersama,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Darat Malaysia (TDM) di Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang di sini, semalam.
Bagaimanapun Hishammuddin memberitahu, pihaknya percaya KDN berkemampuan menahan semula tahanan etnik Rohingya itu.
“Setakat ini, saya yakin KDN masih mampu tangani,” ujarnya.
Dalam kejadian tersebut, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri selepas berlaku rusuhan di dalam depot tersebut.
Bagaimanapun, sehingga semalam, seramai 440 tahanan tersebut ditahan semula manakala jumlah yang masih bebas pula 88 orang.
Jumlah keseluruhan tahanan etnik Rohingya dalam depot tersebut semasa kejadian ialah seramai 664 orang. – UTUSAN










