Tangguhkan kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh - MTUC - Utusan Malaysia

Tangguhkan kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh – MTUC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap kerajaan menangguhkan kemasukan pekerja asing di negara ini, termasuk 500,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba bulan ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan sebaliknya perlu menjalankan kajian impak kemasukan pekerja asing ke atas pekerja tempatan terlebih dahulu.

Menurutnya, kemasukan 500,000 pekerja asing juga akan menyebabkan aktiviti buruh paksa tidak dapat dikawal dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sehingga ada penutupan operasi syarikat dan menyebabkan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan.

Tambahnya, penambahan pekerja asing juga akan menyebabkan penambahan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bertujuan membuat pemeriksaan terhadap premis yang menggajikan pekerja asing.

“MTUC berharap kerajaan dapat menangguhkan kemasukan pekerja asing dan menjalankan kajian impak ke atas pekerja tempatan. 

“Peribahasa ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ akan menjadi kenyataan dan menyebabkan pekerja tidak lagi mempercayai kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan, Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh secara berperingkat bermula bulan ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, pihak kongres telah membantah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh pada 2015 dengan alasan sama iaitu permintaan syarikat.

Sebaliknya, tambah beliau, MTUC mencadangkan pada masa tersebut supaya fokus perlu diberikan kepada melatih pekerja tempatan dan menaikkan skala gaji bagi menarik minat mereka.

“Selepas tujuh tahun berlalu, kerajaan masih lagi gagal menarik minat pekerja tempatan dan gagal menangani isu kekurangan pekerja, atau sememangnya kemaruk majikan terhadap pekerja asing bagi memudahkan eksploitasi pekerja asing sehingga Malaysia dikategorikan sebagai negara buruh paksa?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19 untuk membuat kajian teliti terhadap persediaan pekerja tempatan dalam menggantikan pekerja asing.

“MTUC melahirkan kecurigaan kerana ada pekerja asing yang diambil sebagai pekerja am tetapi diarahkan sebagai pemandu kenderaan, penyelia, kerani dan sebagai. Pekerjaan ini sepatutnya diisi oleh pekerja tempatan,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN