PETALING JAYA: Kerajaan digesa menangguhkan kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh yang dijangka tiba secara berperingkat mulai bulan ini.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya merasakan kemasukan sehingga 500,000 pekerja asing akan menyebabkan aktiviti buruh tidak dapat dikawal dan memberi kesan kepada ekonomi negara sehingga berlaku penutupan operasi syarikat serta menyebabkan pekerja tempatan hilang pekerjaan.
Justeru beliau meminta supaya satu kajian impak kemasukan pekerja Bangladesh terhadap pekerja tempatan dijalankan sebelum mereka dibenarkan bekerja di negara ini.
“MTUC membantah kemasukan pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta pada 2015 dengan alasan sama iaitu permintaan syarikat. MTUC mencadangkan pada masa itu supaya fokus kepada melatih pekerja tempatan dan menaikkan gaji bagi menarik minat anak tempatan.
“Selepas tujuh tahun berlalu, kerajaan masih gagal menarik minat pekerja tempatan dan menangani isu kekurangan pekerja atau sememangnya kemaruk majikan terhadap pekerja asing bagi memudahkan eksploitasi pekerja asing sehingga Malaysia dikategorikan sebagai negara buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang memaklumkan Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh mulai bulan ini.
Ini selepas Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Disember lalu berhubung pengambilan pekerja dari negara itu berkuat kuasa selama lima tahun hingga Disember 2026.
Selain itu, Kamarul turut mempersoalkan kesediaan kerajaan dari segi anggota penguatkuasaan, memandangkan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu memperkasakan lagi pemantauan premis perniagaan ekoran kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh.
“Adakah kerajaan sudah menambah pegawai JTK sebagai persediaan kemasukan 500,000 pekerja asing ini? Adakah bilangan pegawai JTK mencukupi pada masa sekarang?
“MTUC dimaklumkan antara sebab buruh paksa berlaku kerana kegagalan pemeriksaan secara berkala berikutan kekurangan pegawai di premis yang hanya berjumlah 400 orang sahaja.
“Justeru, MTUC berharap kerajaan dapat menangguhkan kemasukan pekerja asing dan menjalankan kajian impak ke atas pekerja tempatan bagi mengelak peribahasa ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ menjadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN










