Tak semua rakyat Singapura isi RON95

Tak semua rakyat Singapura isi RON95

KERATAN laporan Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majoriti warga Singapura yang berkunjung ke Malaysia khususnya di negeri ini, akur dengan larangan dikenakan terhadap mereka iaitu untuk tidak mengisi minyak petrol jenis RON95 yang dikuatkuasakan kerajaan.

Tinjauan di beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya ini semalam mendapati, premis itu menjadi tumpuan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura untuk mengisi minyak.

Daripada pemantauan yang dibuat, majoriti daripada mereka mengisi minyak petrol RON97 manakala sebilangan yang lain mengisi jenis RON100.

Pemantauan kira-kira satu jam itu juga tidak menemukan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol jenis RON95.

Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Nazrul, 38, berkata, dia tidak mempunyai masalah mengikut peraturan itu kerana faham petrol tersebut melibatkan subsidi kerajaan untuk rakyat tempatan.

“Saya tahu, petrol RON95 hanya untuk warga Malaysia, jadi memang saya mengisi minyak jenis RON97 apabila berkunjung ke negara ini.

“Walaupun saya akui perbezaan harga itu menggoda untuk kami berbuat demikian tetapi ia satu tindakan yang melanggar undang-undang. Kita berkunjung ke negara orang jadi biarlah ikut undang-undang tempatan,” katanya ditemui ketika sedang mengisi minyak kenderaannya di Taman Pelangi, di sini.

Seorang lagi warga Singapura dikenali sebagai Syafik, 31, pula mengaku pernah beberapa kali mengisi minyak jenis RON95 kerana tidak tahu perbuatan itu adalah salah mengikut undang-undang Malaysia.

“Saya mengaku, sebelum sempadan Malaysia-Singapura ditutup, saya pernah mengisi minyak jenis RON95 apabila berada di negara ini. Namun selepas dimaklumkan seorang rakan bahawa itu adalah satu kesalahan, saya tidak mengulanginya.

“Tetapi kini apabila sempadan dibuka dan isu berkenaan juga sudah menjadi tular, saya pun tidak berani melakukan perkara itu kerana bimbang menjadi ‘popular’ kerana melakukan kesalahan, malu nanti,” katanya yang merupakan seorang juruteknik.

Terdahulu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro dilaporkan berkata, tindakan penguatkuasaan berhubung isu berkenaan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak dan bukannya warga Singapura terlibat.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagi pengusaha stesen minyak mengambil langkah proaktif bagi mengekangnya kerana perkara itu sudah dijelaskan ketika mereka mahu mendapatkan lesen perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN