PARIT: Hasrat seorang datuk untuk melihat dua cucunya menggayakan jubah dan abaya yang dibelinya ketika menunaikan umrah tidak kesampaian apabila dua cucunya itu maut dalam kebakaran rumah kedai di Seri Iskandar di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 5 pagi itu mengorbankan seorang bayi perempuan, Nor Fahmia Mohd. Fazlan berusia enam bulan dan abangnya, Muhammad Fahmi berusia enam tahun.
Mohamed Hamidi Mohd. Alias, 60, berkata, dia dan isterinya, Zairinah Abdullah, 57, masih terkejut dengan kejadian yang menimpa kedua-dua cucunya itu di saat hari raya hampir menjelang.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dua cucunya itu ialah pada hari pertama Ramadan ketika mereka berbuka puasa beramai-ramai.
Katanya, dia turut memberikan jubah untuk cucu lelakinya, Muhammad Fahmi dan memberikan abaya dan gelang tangan kepada cucu perempuannya, Nor Fahmia.
“Beberapa hari sebelum kejadian hari ini, saya sering terbayangkan kedua-dua cucu saya itu. Saya berhasrat untuk bertemu namun saya dikejutkan dengan panggilan mereka terlibat dalam kebakaran rumah kedai hari ini.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini kerana hilang dua cucu dalam satu masa dan saya tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak lelaki dan menantu yang turut kehilangan anak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, nenek kedua-dua mangsa, Zairinah pula berkata, walaupun dia reda cucunya pergi pada bulan Ramadan, dia sedih kerana dia yang menjaga cucu sulungnya itu sejak dari kecil lagi.
“Saya tak boleh bayangkan sebab saya selalu bermain-main dengan mereka berdua dan lebih dua minggu tidak berjumpa, namun sekarang mereka sudah tiada. Abang bawa adiknya ke syurga, meskipun sedih kami harus reda,” katanya.
Dalam kejadian hari ini, dua beradik yang diselamatkan bomba dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Persiaran SIBC 1, Seri Iskandar di sini awal pagi tadi meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 5.10 pagi dan segera ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kebakaran berlaku di tingkat dua yang mempunyai dua bilik menempatkan pekerja dan dua beradik tersebut. – UTUSAN









