Tahanan Rohingya lari didalangi individu tertentu - Utusan Malaysia

Tahanan Rohingya lari didalangi individu tertentu

SEBAHAGIAN etnik rohingya yang ditahan semula selepas meloloskan diri dibawa keluar dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Rohingya Malaysia Kedah mengesyaki tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri secara beramai-ramai dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu hari ini didalangi individu yang lama berada di depot tersebut.

Pengerusinya, Yusof Ali berkata, mustahil tindakan tersebut didalangi oleh mereka yang baru ditempatkan di depot itu memandangkan mereka masih belum arif mengenai lokasi berkenaan.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat dalam kalangan individu etnik Rohingya tersebut berniat untuk melarikan diri tanpa melalui proses perundangan.

“Tidak dinafikan, dalam ramai-ramai tahanan itu mungkin ada sekelompok individu yang membuat perancangan untuk melarikan diri. Mungkin mereka ini mahu melarikan diri dari kes mahkamah atau tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap mereka. Golongan ini perlu dicari dan dihadapkan ke muka pengadilan kerana tindakan mereka ini turut ‘memerangkap’ golongan wanita serta kanak-kanak untuk melarikan diri hingga ada antara mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu katanya, kejadian tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) serta pihak berkaitan bagi mencari jalan agar tidak terlalu ramai golongan etnik Rohingya menjadi tahanan pihak berkuasa.

Menurutnya, ketika ini dia menerima aduan menyatakan, mereka yang pernah memiliki kad UNHCR sebelum ini pun, hanya diberikan surat sementara apabila memperbaharui kad yang sudah tamat tempoh.

“Berbanding kad yang mudah dipastikan keasliannya, surat sementara itu terlalu mudah dipalsukan hingga menyebabkan pihak penguatkuasa sering terkeliru dan terpaksa ‘mengangkut’ kesemua individu yang berada dalam satu-satu kawasan sewaktu melakukan operasi. Tindakan itu sudah tentu mengakibatkan lebih ramai etnik Rohingya yang ditahan sekali gus menyebabkan depot tahanan menjadi sesak,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, pihak juga berpendapat tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata dalam hal tersebut.

“Namun kami memohon agar kerajaan campur tangan dalam kejadian tersebut dan UNHCR diminta untuk mengadakan perbincangan bersama pihak kerajaan berhubung perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya