Syarat ketat ambil amah Indonesia - Utusan Malaysia

Syarat ketat ambil amah Indonesia

Indonesia
Malaysia, Indonesia mempunyai hubungan yang istimewa dan tidak boleh dikeruhkan dengan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan di meja rundingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat-syarat pengambilan pekerja terutamanya pembantu rumah Indonesia diperketatkan menerusi lima inisiatif yang diperkenalkan dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Inisiatif tersebut ialah majikan perlu membuat caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jaminan bayaran gaji melalui e-Wages, pembayaran gaji tidak boleh lewat dari hari ketujuh pada setiap bulan, cuti sehari dalam seminggu dan membina aplikasi e-aduan.

Malah, dipercayai gaji permulaan pekerja PDI ditetapkan sebanyak RM1,500 yang dimohon oleh Indonesia, iaitu bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar di Jakarta, Indonesia berkata, inisiatif itu adalah bagi menjaga kebajikan pekerja dari sudut perlindungan sosial.

Menurut beliau, pemeteraian MoU ini juga akan merintis kepada kemasukan semula Tenaga Kerja Indonesia (TKI) untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan di Malaysia.

Difahamkan, setakat ini hanya 92,481 pembantu rumah asing berada di negara ini tahun lalu, dengan 64,181 daripadanya adalah pengambilan PDI, berbanding 129,168 pembantu rumah yang dicatatkan pada 2019 dan 127,169 orang pada 2018.

MoU

Pemeteraian MoU tersebut ditandatangani Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah dengan disaksikan Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.

Ismail Sabri seterusnya menyifatkan pemeteraian itu sebagai satu detik yang penting kerana ia merupakan komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

“MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI akan dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan, mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

“Dalam hal ini, saluran kemasukan tunggal bagi PDI ke Malaysia telah dipersetujui hanya menggunakan sistem saluran tunggal (One Channel System) seperti yang terkandung dalam MoU, penting untuk saringan kepada hanya majikan yang layak menggajikan PDI,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk membanteras isu buruh paksa, termasuklah memberi perlindungan kepada pekerja migran daripada Indonesia.

Malaysia dan Indonesia telah memeterai ​MoU PDI sejak 2006 dan diperbaharui pada 2011, namun ia telah tamat tempoh pada 2016.

 

Rundingan

Siri rundingan dilaksanakan sejak 2016 merentasi tiga Perdana Menteri bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini di bawah Ismail Sabri.

Sehingga Februari 2022, Indonesia merupakan negara sumber pekerja warga asing utama bagi Malaysia iaitu sebanyak 352,469 orang di mana 58,438 adalah pengambilan PDI.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low mengalu-alukan pemeteraian MoU PDI bersama Indonesia, namun berharap rundingan membawa masuk pekerja asing juga dilakukan bersama negara-negara lain.

“Sistem kemasukan dan pengambilan pekerja perlu telus dan mempunyai inisiatif yang melindungi pekerja bagi mencegah kemasukan haram dan kami juga mengharapkan proses pengambilan berjalan lancar.

“Namun, proses ini adalah panjang dan rumit, memerlukan masa lebih kurang tiga bulan untuk mereka sampai ke sini, jadi kita berharap kerajaan dapat membuat pengumuman tentang ketelusan dan proses serta prosedur yang ada dalam sistem ini secepatnya kerana pembayaran akan dibahagikan kepada tiga pihak yang terlibat dalam tanggungjawab bersama kepada setiap PDI.

“Kami juga berharap kerajaan segera berunding bersama negara seperti Bangladesh dan Nepal kerana mereka juga akan dapat membekalkan pembantu rumah asing ke Malaysia seperti yang mereka bekalkan ke negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein pula menyifatkan MoU ini mementingkan hak majikan dan pekerja Indonesia.

“Apa yang kerajaan putuskan menjurus kepada hak kepentingan pekerja, kita cuma berharap Indonesia tidak markup harga pengambilan pekerja dan meletakkan harga berpatutan dan menyediakan pekerja yang berkualiti,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×