Suspek utama dipenjara tujuh bulan, rakan subahat tidak mengaku salah

Dendam kekasih mati: Suspek utama dipenjara tujuh bulan, rakan subahat tidak mengaku salah

CHONG Guang Ming (kanan) dan rakannya Chia Kok Beng dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini selepas bertindak seperti samseng memukul seorang lelaki kerana mendakwa mempunyai kaitan dengan kematian kekasihnya di Klang, Selangor. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Akibat sikap buruk sangka sehingga mencederakan pekerja pengurusan mayat baru-baru ini, seorang lelaki dipenjara selama tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Chong Guang Ming dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid yang memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 12 April lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Guang Ming, 49, didakwa sengaja menakutkan Lim Soon Lee, 35, dengan ugutan pukul jika tidak memotong jari kelingkingnya di Taman Chi Liung, Pandamaran kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 November tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua pula, pada pukul 9.30 malam, 10 April lalu, Guang Ming dituduh mendatangkan kecederaan kepada mangsa sama dengan menggunakan senjata iaitu rantai besi yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 324 kanun sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali dan tertuduh juga boleh dikenakan sebatan.

Pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, rakannya, Chia Kok Beng yang bersubahat dalam kejadian tersebut dituduh dalam mahkamah berasingan, mengaku tidak bersalah dan diperintah membayar jaminan dengan seorang penjamin oleh Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.

Tertuduh berusia 40 tahun itu didakwa dengan sengaja bersubahat menyebabkan kecederaan pada Soon Lee menggunakan senjata iaitu rantai besi bersama rakan sejenayah, Guang Ming yang mana kesalahan tersebut dilakukan hasil daripada persubahatannya.

Oleh demikian, Kok Beng dituduh di bawah Seksyen 109 KK yang dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali dan tertuduh juga boleh dikenakan sebatan.

Noorjidah kemudian menetapkan sebutan semula pada 2 Jun. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hanis Zulkapli dan tertuduh diwakili peguam, Tham Weng Kin.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, polis berjaya menahan Kok Beng dan Guang Ming dalam dua tangkapan berasingan di Taman Chi Liung, Klang dan Taman Koperasi di Jerantut, Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, punca mangsa dipukul dan diancam suspek disebabkan dendam terhadap kematian teman wanita pada 9 November tahun lalu.

Kemudian, suspek yang mendakwa mangsa mempunyai kaitan dengannya.

“Suspek tidak berpuas hati dengan mangsa sebelum bertengkar dan mencabarnya untuk memotong jari jika benar tidak terlibat.

“Bagi membuktikan kebenarannya, mangsa mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri sebelum pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Tetapi mangsa tidak membuat laporan selepas kejadian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya