KOTA TINGGI: Suspek kes tetak empat beranak termasuk isterinya sendiri di Kampung Sedili Kecil, di sini, Khamis lalu didakwa tidak bercampur dengan penduduk setempat.
Menurut penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mazni, 40-an, suspek yang merupakan penduduk generasi kedua Felda Air Tawar 2 juga jarang kelihatan di kampung itu.
“Kami tak tahu sangat tentang dia kerana jenis yang tidak berapa bercampur dengan penduduk. Difahamkan, dia adalah anak bongsu dalam keluarga. Kami juga dimaklumkan dia menetap di Sedili bersama isteri dan anak-anak.
“Memang agak terkejut bila dapat tahu kejadian itu. Kami hanya kenal dia sebagai penduduk kampung dan tahu dia anak peneroka di sini, selebihnya tidak tahu kerana tidak pernah jumpanya dalam aktiviti di kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan suspek yang berusia 38 tahun dan bekerja di ladang nanas menetak isteri, ibu mentua dan dua adik iparnya ketika sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa.
Kesemua mangsa berusia 16 hingga 50 tahun itu cedera parah dan mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi, di sini. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
Dua anak suspek yang berusia lima tahun dan dua bulan yang turut berada dalam rumah itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, sehingga kini masih belum ada tangkapan yang dilakukan dan polis sedang giat memburu lelaki itu.
Ketika dihubungi semalam, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat tentang lokasi suspek menyembunyikan diri agar menyalurkan kepada polis. – UTUSAN










