JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemukan selamat selepas hilang ketika melakukan latihan menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing, Rabu lalu.
Perkara itu dikongsikan dalam hantaran di laman sosial Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Kurniaan itu diserahkan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters, 45, dan warga Perancis, Alexia Alexandria Molina, 18, oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.
Kedua-dua mangsa menjunjung kasih atas ingatan dan kurniaan baginda yang turut mengambil berat keadaan mereka.
Semalam, Adrian dan Alexia ditemukan pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira 1 pagi.
Adrian turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam yang juga anaknya, Nathan Renze Chesters, 14, telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Jurulatih selam, Kristine Grodem dari Norway, ditemukan pada Khamis lalu di lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.
Susulan insiden itu, Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga hasil siasatan kes dan kajian semula seluruh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan aktiviti menyelam di Mersing selesai. – UTUSAN