PUTRAJAYA: Kemelut isu rakaman audio tular yang meluahkan permasalahan dalaman Wisma Putra semakin menarik apabila rakaman suara Datin tersebut semakin terbongkar.
Terbaharu, Kementerian Luar menerusi kenyataan di sini hari ini memaklumkan bahawa individu yang bergelar Datin itu merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar.
Petugas tersebut didakwa merujuk kepada penyandang menteri era sebelum pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional yang kemudiannya telah tumbang.
“Individu itu telah pun dipanggil untuk membantu proses siasatan dan dia membuat pengakuan secara sepenuhnya bahawa rakaman suara berkenaan dilakukan oleh dirinya sendiri.
“Sementara suara wanita itu pula ialah individu bergelar Datin yang merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar ketika pentadbiran sebelum ini,” jelas Wisma Putra.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, kenyataan terbaharu itu kemungkinan besar merujuk Datuk Seri Anifah Aman yang pernah berkhidmat dari 2009 sehingga 2018 lalu.
Selasa lalu, beliau lantang meminta Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah meletak jawatan ekoran kegagalan protokol diplomatik Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Keadaan kelam kabut itu menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa beratur lama untuk pengesahan pasport di kaunter imigresen lapangan terbang.
Susulan isu dianggap memalukan itu, Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd. Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd. Hasril Abdul Hamid dipanggil balik ke tanah air.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, penemuan terbaharu itu berdasarkan penelitian bukti dan keterangan beberapa saksi setelah dikenal pasti Jawatankuasa Siasatan Dalaman.
“Individu yang disyaki membuat rakaman audio tular menerusi wadah media sosial tersebut yang mengandungi tuduhan tidak berasas itu sudah dipanggil dan mengaku,” tambahnya.
Bagaimanapun ujar Wisma Putra, memandangkan laporan polis sudah dibuat pada 11 April lalu, maka laporan siasatan jawatankuasa tersebut akan diserahkan kepada pihak polis.
Tambahan pula, individu berkenaan merupakan orang di luar kementerian tersebut dan pihak polis pula akan melakukan penyiasatan lanjut sebelum tindakan seterusnya diputuskan.-UTUSAN










