Suami terlantar sakit, keluarga tiada pendapatan tetap - Utusan Malaysia

Suami terlantar sakit, keluarga tiada pendapatan tetap

ROSLAN Mat Nong (kanan) ketika menemui Aniza Zainuddin (tengah) dan Raja Mazurin Raja Mazlan di rumah sewa mereka di Jalan Pantai, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi kebanyakan orang, Aidilfitri tahun ini pastinya akan disambut meriah apatah lagi selepas dua tahun tidak diraikan sepenuhnya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, bagi sebuah keluarga di Kampung Pantai di sini, sejak tiga tahun lalu, Aidilfitri disambut mereka dengan serba kekurangan selepas mereka hilang punca pendapatan apabila tonggak keluarga terlantar akibat diserang angin ahmar dan lemah jantung.

Aniza Zainuddin, 43, berkata, suaminya, Raja Mazurin Raja Mazlan, 53, merupakan seorang pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,000 sebulan namun tidak boleh lagi bekerja dan hanya terlantar sejak 2019 akibat penyakit dihidapinya itu.

Sejak itu, dia menjaga sepenuh masa suaminya itu selain menguruskan keperluan dua orang anak yang masih bersekolah menengah.

“Selepas suami sakit, memang kami sekeluarga tidak ada sebarang punca pendapatan. Saya perlu mengurus dan menjaganya kerana dia boleh terkena sawan pada bila-bila masa. Kami sekeluarga sebelum ini menyewa di sebuah rumah di Taman Tasik Jaya, namun selepas tiada pendapatan, kami terpaksa mencari rumah sewa yang murah kerana tiada pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurutnya, rumah kampung yang didiami dengan nilai sewaan berjumlah RM200 sebulan hasil bantuan Baitulmal sebanyak RM480 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Bantuan yang diterima mencukupi untuk membiayai perubatan dan pengangkutan suami ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan. Untuk tujuan lain memang tidak mencukupi apatah lagi saya tidak boleh keluar bekerja kerana perlu menjaga suami sepenuh masa. Tahun ini sambutan untuk Aidilfitri, memang kami belum buat sebarang persiapan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan, Roslan Mat Nong yang prihatin dengan nasib mereka.

“Kami telah dimaklumkan tentang perkara ini dan hari ini kami hadir dan membawa bersama sebuah katil mudah laras elektronik bagi kemudahan isteri yang menjaga suaminya yang sakit ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pihaknya turut simpati dengan nasib yang dialami keluarga berkenaan.

“Kami membantu dengan menaja pembayaran pengambilan lesen memandu buat salah seorang anak pasangan suami isteri ini bagi memudahkan mereka ke sekolah. Selain itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan menyumbang sebuah motosikal kepada keluarga ini untuk memudahkan mereka menjalankan urusan harian kerana mereka tidak membuang sebarang kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN