PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun akan menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembah status perbicaraan kes penderaan Bella.
Rina berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan peguam TMJ bagi membantu kes prosiding penderaan remaja perempuan itu.
Menurutnya, titah TMJ yang mahu menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian untuk kes ini amatlah bermakna.
“Kerjasama itu penting bagi kementerian dalam memperkasa usaha menegakkan keadilan buat adik Bella. Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan TMJ,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, beliau terharu dengan keprihatinan TMJ dan Che Puan Besar (Khaleeda Bustamam) yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini.

Rina berkata, beliau mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudah dan kebenaran dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak.
Terdahulu TMJ menerusi Instagram rasminya memaklumkan, Tuanku sudah menghubungi peguamnya serta akan berhubung dengan Rina bagi menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma itu.
Titah TMJ itu senada dengan isterinya, Che’ Puan Besar yang berkongsi pendiriannya sama bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan Down Sindrom berkenaan.
Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.
Mahkamah sebelum ini mengenakan dua pertuduhan Siti Bainun iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. – UTUSAN










